Masjid Lama Kedai Mulong yang terletak di Kampung Surau Lama Kedai Mulong, Kilometer 11 Jalan Kuala Krai, Kota Bharu merupakan sebuah bangunan warisan bersejarah yang unik kerana asalnya merupakan Balairung Seri Raja Dewa milik Tuan Zainal Abidin, putera Sultan Muhammad III yang dibina sekitar tahun 1900-an. Pada tahun 1958, bangunan istana ini dibeli oleh penduduk kampung dengan harga RM1,000 dan dipindahkan secara gotong royong ke tanah wakaf, kemudian dipasang semula dengan penambahan ruang mihrab dan anjung masuk untuk dijadikan masjid.
Masjid ini telah menjalani projek pemuliharaan oleh Jabatan Warisan Negara Malaysia yang mengambil masa lapan bulan untuk mengembalikan keaslian seni binanya, termasuk memelihara ukiran pada 16 tiang masjid, panel corak ‘Janda Berhias’, jejala bercorak geometri bermotif bunga, dan buah butong di siling. Kini, Masjid Lama Kedai Mulong yang dapat memuatkan 100 jemaah ini telah dibuka semula untuk diimarahkan, menjadi saksi keindahan seni pertukangan Melayu dan warisan istana zaman silam yang dapat dinikmati oleh generasi masa kini.

Leave a Reply